| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM memberi ganjaran kepada staf untuk khidmat cemerlang, khidmat lama

Oleh: Noor Eszereen Juferi Foto: Noor Azren Awang & Mohd Hasrul Hamdan

Antara penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012


SERDANG, 21 Ogos (UPM) – Seramai 762 staf UPM terima anugerah kecemerlangan dalam Majlis Gemilang Putra 2013 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan dalam ucapannya berkata majlis itu membuktikan bahawa modal insan berprestasi tinggi sentiasa diberi keutamaan di UPM serta elemen kecemerlangan merupakan penyumbang utama kejayaan universiti.

“Saya percaya UPM akan mencapai kejayaan secara keseluruhan jika setiap individu dalam universiti memainkan peranan masing-masing mengikut kepakaran yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya pada majlis perasmian di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

Tambah beliau, UPM turut akan memperkenalkan beberapa inisiatif bagi menambah baik prestasi kecemerlangan warga universiti.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan


“Antaranya memberikan peruntukkan RM2,000 seorang setahun kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang ditetapkan bagi ke luar negara untuk memperolehi pendedahan kepada budaya kerja amalan terbaik.

“Selain itu akan mewujudkan mekanisme insentif kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berjaya mendapatkan pelajar antarabangsa mendaftar dan melanjutkan pengajian di UPM,” katanya.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua warga universiti yang telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2012.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar


“Saya percaya kesungguhan serta keikhlasan semua warga UPM dalam melaksanakan tugasan dan walaupun tidak disenaraikan sebagai penerima anugerah pada tahun ini kecemerlangan staf amat dihargai,” katanya.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi turut menyampaikan anugerah kepada waris 16 penerima Anugerah Jasamu Dikenang (yang telah meninggal dunia), 49 penerima Anugerah Jasa Putera (yang telah bersara), 53 penerima Anugerah Setia Putera (yang telah berkhidmat lebih 20 tahun), 138 penerima Anugerah Bakti Putra (yang telah berkhidmat lebih 30 tahun) dan 506 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

 -- UPM - nej/kgo

SXETRA7~