| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM meterai dua MoU pembangunan lestari

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Foto oleh Noor Azreen Awang

SERDANG, 15 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani dua perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Putrajaya, dan dengan Tunas Nasional Holdings Sdn Bhd bagi tujuan mencapai pembangunan lestari dan penanaman bunga semusim.

Melalui MoU dengan Perbadanan Putrajaya itu, UPM memperluaskan bidang kerjasama dengan melibatkan Fakulti Perhutanan, Fakulti Pertanian, dan Taman Pertanian Universiti (TPU) yang merupakan kesinambungan daripada kerjasama 2012-2016.

Kerjasama itu terutamanya dalam bidang hortikultur yang meliputi florikultur, olerikultur, pomologi dan pengurusan tapak semaian, apiari, pengurusan dan penyelenggaraan landskap, perancangan dan reka bentuk bandar, pengurusan alam sekitar, tasik dan wetland, pembangunan dan perkhidmatan bandar, perhutanan bandar, pertanian bandar, rekreasi dan eko pelancongan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata melalui kerjasama itu, kepakaran yang dimiliki UPM akan dikembangkan terutamanya melalui perkongsian maklumat, ilmu pengetahuan, pembangunan dan pengurusan landskap serta alam sekitar.

Melalui MoU dengan Tunas Nasional Holdings Sdn Bhd pula, syarikat itu diberi kebenaran membuka pusat nurseri tanaman bunga di UPM di kawasan seluas lebih 0.6 hektar di kelab golf UPM.

20 pelajar asnaf di bawah Program Rakan Bakti Putra menerima sijil penyertaan dan t-shirt ketika majlis tersebut

Melalui usahasama itu, UPM menyediakan 20 orang pelajar daripada golongan ASNAF untuk menyediakan 150,000 polybag bunga semusim setiap bulan, dan dipantau oleh pihak Taman Pertanian Universiti serta pihak Bursar.

“Saya percaya kerjasama ini dapat diperluaskan lagi melalui kaloborasi pintar UPM dalam mengkaji serta menemukan jenis-jenis bunga semusim yang boleh dikomersilkan.

“Kajian ini perlu dilaksanakan segera memandangkan usaha Kementerian Wilayah Persekutuan menceriakan bandar-bandar dan penduduk melalui tanaman bunga-bungaan seperti yang diusahakan Tunas Nasional Holdings sekarang.

“Kajian ini nanti akan diangkat oleh UPM dan Tunas Nasional Holdings untuk digunakan oleh agensi-agensi kerajaan,” kata Prof. Datin Paduka Dr. Aini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan.

SXDdOAP~