| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM-MoA pupuk amalan pengurusan berkualiti bangun industri herba negara


SERDANG, 12 Jun – Pengurusan berkualiti berdasarkan amalan sistem pengurusan tanaman yang baik dilihat mampu membangunkan dan menghasilkan produk bermutu untuk industri tanaman herba negara.

Bagi mewujudkan kesedaran pengusaha tanaman herba, Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pejabat Pembangunan Herba (HDO), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) menganjurkan seminar Amalan Pertanian dan Pengumpulan Baik untuk Bahan Mentah Herba Berkualiti.

Seminar dua hari itu membincangkan elemen Good Agriculture and Collection Practise (GACP) dan Standard Operating Procedure (SOP) penanaman dan pengumpulan bahan mentah herba bagi memastikan kualiti bahan mentah sentiasa terpelihara.



Timbalan Ketua Setiausaha MoA, Dato’ Raihan Syarif berharap beberapa contoh SOP tanaman yang dibentangkan dapat dibangunkan untuk rujukan kepada orang ramai.

“Saya percaya industri herba kini mengalami evolusi daripada sebuah industri kecil kepada industri bernilai berbilion ringgit,” katanya semasa merasmikan seminar itu di sini.

Sementara itu, Pengarah APEEC, Prof. Madya LAr Dr. Nordin Abd Rahman berkata seminar itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta dengan teknik dan teknologi penanaman, penuaian dan pengendalian lepas tuai yang dapat mengekalkan kualiti bahan herba.


Beliau berkata program perintis itu menemukan pelbagai pihak dalam industri herba untuk mewujudkan SOP tanaman herba berkualiti.

“Ini kerana perkembangan industri yang pesat menyebabkan peningkatan terhadap bahan mentah. Walaupun begitu, bekalan bahan mentah tidak begitu konsisten dan rendah dari segi kualiti dan kuantiti.

“Saya menyeru agar semua agensi termasuk universiti dan pengusaha industri herba terus bekerjasama dan  berusaha untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi untuk dikomersilkan,” katanya.

Seminar itu melibatkan 17 pembentang dari UPM, MoA, Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Berita ini disediakan oleh Muhamad Najkhan Mazlan, 03-89466130 dan foto oleh Noor Azreen Awang, 03-89466199


SXDdPAn~