| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM ranking 16 dunia UI-GreenMetric World University Ranking 2013

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meningkatkan ranking penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2013 ke tempat 16 berbanding 19 pada tahun sebelumnya baru-baru ini.

Naib Canselor UPM, Prof Dato' Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata daripada 301 universiti seluruh dunia yang menyertai penarafan itu, UPM muncul universiti ranking tertinggi dari benua Asia dan Malaysia di mana 15 universiti teratas dibolot oleh negara-negara barat.  

“Peningkatan ranking UPM kerana kecemerlangan dalam mempromosi kelestarian melalui usaha pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau secara aktif sejak kebelakangan ini.

"Penarafan itu mengambil kira komitmen dan usaha UPM untuk memastikan kelestarian,kehijauan kampus dan alam sekitarnya seperti saiz dan infrastruktur keluasan kawasan hijau selain penggunaan tenaga yang cekap di kampus," katanya mengulas pencapaian ranking anjuran Universiti Indonesia itu.

Prof Dato' Dr Mohd Fauzi berkata penarafan turut menilai adaptasi teknologi hijau, penguatkuasaan polisi lestari serta pengurusan kenderaan dan pengurusan bahan buangan di kawasan kampus.

Dalam ranking itu, University of Nottingham, United Kingdom menduduki tempat pertama, diikuti University College Cork National University of Ireland dan Northestern University, Amerika Syarikat, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Universiti tempatan lain yang turut tersenarai ialah UTM (98), UM (213) dan UKM (276). Pada tahun 2012, daripada 215 universiti seluruh dunia yang menyertai  UI-GreenMetric,  pencapaian universiti tempatan ialah UPM (19), UTM (139) dan UM (160).


SXDdOAm~