UPM Rintis Cipta Inovasi Picagari Safety Syringe, Tabung Darah SJ-VacTube | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » UPM rintis cipta inovasi picagari Safety Syringe, tabung darah SJ-VacTube

UPM rintis cipta inovasi picagari Safety Syringe, tabung darah SJ-VacTube

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan


SERDANG, 24 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta Safety Syringe iaitu picagari keselamatan pelbagai guna pakai buang, dan SJ-VacTube iaitu tabung darah bervaksum tanpa tebuk, yang pertama seumpamanya di negara ini.

Kedua-dua teknologi itu berkait antara satu sama lain, dan digunakan di dalam proses pemindahan dan penyimpanan cecair seperti darah untuk kegunaan makmal, perubatan, veterinar dan seumpamanya.

Inovasi itu dihasilkan sekumpulan penyelidik diketuai Prof. Madya Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib dari Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan UPM.

Pada masa ini, picagari keselamatan pakai buang dan tabung darah bervakum tanpa tebuk belum dihasilkan di negara ini, dan perlu dimport. 

Penggunaan Safety Syringe dapat mengelakkan penggunaan semula, sekali gus mengelak jangkitan kuman dan penyakit berpunca daripada penyalahgunaan picagari.

Prof. Madya Ir. Dr. Abd Rahim berkata, seperti picagari biasa, picagari keselamatan boleh digunakan untuk memasukkan atau mengeluarkan cecair dari atau ke dalam badan pesakit.
Bagaimanapun, katanya, setelah picagari keselamatan digunakan untuk mengeluarkan cecair, bahagian penolak akan ditekan untuk mematahkan bahagian pemegang jarum secara kekal.

“Jarum akan tertanggal daripada bahagian badan picagari dan dapat mengelakkan penggunaan semula,” katanya.



SJ-Vactube pula adalah inovasi baharu dalam penggunaan teknologi vakum tanpa penggunaan jarum.

Beliau berkata rekabentuk baharu penutup dan tiub membolehkan proses inovasi dilaksanakan bagi menghasilkan bekas tabung darah vakum tanpa ditebuk.

“Proses baharu ini tidak memerlukan cucukan jarum untuk menghasilkan vakum, udara dapat disedut keluar melalui kaedah inovatif melalui saluran di bahagian penutup tiub untuk mendapatkan had vakum yang dikehendaki. Oleh itu kadar kebocoran udara dapat dikurangkan dan membolehkannya disimpan dengan lebih lama,” katanya.
Kedua-dua teknologi itu telah mendapat perlindungan harta intelek berbentuk paten di Malaysia dan tujuh negara lain. Sementara itu syarikat Selia Tek Industries Sdn Bhd  akan bekerjasama dengan UPM bagi mengkomersilkan produk berkenaan dan bersetuju membeli kedua-dua paten daripada UPM.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata saiz pasaran picagari keselamatan di Malaysia adalah di antara 3 dan 5 juta unit setahun, manakala permintaan untuk pasaran ASEAN antara 10 dan 30 juta unit setahun.
Untuk tiub pula, katanya, antara 5 dan 8 juta setahun di Malaysia dan antara 30 dan 50 juta tiub setahun bagai pasaran ASEAN.

“Sejak tahun 1990 hingga kini, UPM berjaya memindahkan 112  teknologi kepada pihak industri melalui kaedah pelesenan dan penjualan harta intelek dengan nilai jualan kasar produk melebihi RM52 juta,” katanya pada majlis pertukaran dokumen perjanjian pindah milik paten antara UPM dan Selia Tek Industries Sdn Bhd bagi teknologi Safety Syringe dan SJ-VacTube, di sini.
Katanya, sehingga kini UPM memiliki lebih 1,900 harta intelek yang berpotensi untuk diterokai oleh pihak industri. – UPM

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEYTAW~