| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM tubuh Unit Integriti bagi mengukuhkan tadbir urus perkhidmatan universiti

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Noor Azreen Awang



SERDANG, 15 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan Unit Integriti bagi mengukuhkan integriti dan tadbir urus perkhidmatan staf UPM untuk lebih telus dalam melaksanakan tugasan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata penubuhan unit integriti merupakan usaha kawalan dalaman bagi menguruskan integriti dalam organisasi dalam membendung masalah tatatertib serta etika di kalangan staf UPM.

“Dengan kewujudan Unit ini ia mampu mengubah persepsi pemegang taruh universiti serta melicinkan urusan penyampaian perkhidmatan universiti. Selain itu, Unit tersebut akan bertindak dalam melaksanakan tadbir urus, pengukuhan integriti dan pengurusan aduan berhubung salah laku dan pelanggaran tata kelakuan pegawai universiti,” katanya dalam Majlis Gemilang Putra & Sambutan Hari Pekerja 2014 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

Tambah beliau, UPM telah melakukan beberapa transformasi pembangunan bakat UPM dilaksanakan antaranya Program Universiti Putra Malaysia Talent Appreciation and Culture Transformation (UPMTACT) dan Program Pembangunan Bakat bagi Pelan Penggantian UPM (UPMTOP) merupakan platform pendedahan budaya kerja di universiti terkemuka dunia.



“Ini bertujuan memberi pendedahan kepada staf UPM mengenai budaya kerja yang diamalkan di universiti antarabangsa serta mempelajari sistem untuk diterjemahkan dan meningkat kualiti perkhidmatan di UPM,” katanya.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata majlis tersebut adalah signifikan bersempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat UPM  bertujuan memberi penghargaan kepada bakat di kalangan warga UPM yang telah menunjukkan pencapaian berkualiti kepada universiti.

“Ini merupakan kemuncak pengiktirafan universiti dalam melaksanakan tugasan dan walaupun tidak tersenarai sebagai penerima anugerah, kecemerlangan staf amat dihargai oleh pihak universiti,” katanya.

Pada majlis tersebut, Prof. Dato’ Mohd Fauzi Ramlan melancarkan Bulan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja yang diterajui  oleh Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja untuk warga kampus UPM bagi menerapkan amalan kerja selamat dan menjaga aspek kesihatan dalam melaksanakan tugas harian.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi menyampaikan Anugerah Tokoh Pekerja untuk tiga kategori iaitu Pengurusan dan Profesional Akademik, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris; Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik, Roslan Mohammad dan Pegawai Pelaksana, Yap Keng Chee masing-masing menerima RM1,000 dan plak.

 



Beliau turut menyampaikan anugerah kepada waris 7  Anugerah Jasamu Dikenang (yang telah meninggal dunia), 122 penerima Anugerah Jasa Putra (yang telah bersara), 40 penerima Anugerah Setia Putra (yang telah berkhidmat lebih 20 tahun),  31 Anugerah Bakti Putra (yang berkhidmat lebih 30 tahun) dan 501 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. – UPM/nej/kgo


SXETOAz~