| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM–VOLVO hasil inovasi kurangkan kemalangan antara trak dan motosikal

Oleh Syifarida Muhamad Zaki


SHAH ALAM, 15 Jan – Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalanraya (RSRC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan VOLVO Malaysia Sdn. Bhd (VOLVO) berkerjasama mencari penyelesaian inovatif untuk mengurangkan kemalangan trak dan motosikal di Malaysia.

Kerjasama itu turut melibatkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Vehicle and Traffic Safety Centre (SAFER, Sweden), Swedish Trade Council (STC) dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo berkata UPM akan menumpukan aspek merangka strategi berdasarkan penemuan penyelidikan itu.

“Kami berharap kajian ini dapat dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang jalan raya di Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian penyelidikan antara agensi Malaysia dan agensi Sweden di sini.



Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Mansoor Ahmad berkata kerjasama itu adalah untuk mewujudkan persekitaran trafik yang selamat bagi mengurangkan jumlah mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan trak dan motosikal.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, 60 peratus kemalangan maut di jalan raya melibatkan pemandu trak dan penunggang motosikal.”

“Penunggang motosikal berdepan risiko 20 kali lebih tinggi daripada pemandu kenderaan lain disebabkan perbezaan besar dari segi jisim kenderaan, tahap perlindungan dan kelajuan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia, Mark Rozario berkata kerjasama itu juga bertujuan mewujudkan rangkaian kerjasama pemindahan ilmu yang berterusan dan berkongsi pengetahuan mengenai  isu-isu keselamatan jalan raya di Malaysia dan juga Sweden.


“Kami berharap melalui kerjasama ini penyelesaian secara inovatif dapat ditemukan seperti membangunkan program kesedaran keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya dan  penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan,” katanya.

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian tersebut adalah Duta Sweden ke Malaysia, Bengt G Carlsson; Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Inovasi Malaysia, Mark Rozaldo dan Pengarah Urusan, VOLVO Malaysia Sdn Bhd, Mansoor Ahmad.

 


SXDdNA0~