| SCHOOL OF GRADUATE STUDIES

Perutusan Naib Canselor - UPM capai KPI 92.74 peratus

SERDANG, 3 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) mengorak langkah pemantapan Pelan Strategik 2011-2013 dengan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 92.74 peratus daripada sasaran bagi tahun 2011.

 Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi menjelaskan kejayaan itu disumbangkan oleh KPI Akademik sebanyak 89.33%, Penyelidikan dan Inovasi (92.61 %), Hal Ehwal Pelajar (95.60%), Jaringan Industri dan Masyarakat (100%), Sumber Manusia (76.89%), Pengurusan Kewangan (80%) dan Perkhidmatan Perpustakaan (96.29%).

Beliau berkata kejayaan itu hasil penggubalan KPI Naib Canselor dengan 42 petunjuk yang menekankan orientasi outcome based, memperturunkan KPI Naib Canselor kepada KPI JPU, Dekan, Pengarah dan Staf melalui mekanisma perkongsian dan kajian semula KPI Naib Canselor setiap tiga bulan.

Dalam Perutusan Naib Canselor 2012 di sini, beliau merakamkan penghargaan atas sumbangan peneraju, ketua PTJ dan warga UPM selain yakin KPI itu boleh ditingkatkan dengan motivasi dan produktiviti yang lebih mencabar.

 Memperincikan pencapaian berkenaan dalam sektor akademik, beliau yakin dapat meningkatkan pencapaian UPM diiktiraf sebagai Universiti Terkemuka (outstanding) atau Tier 6 dalam Penilaian SETARA 2011 berbanding  Tier 5 pada 2009. 

 “Inisiatif UPM melaksanakan Test on Communication in English ke atas pelajar telah membuahkan hasil apabila UPM mencapai 86.15% komunikasi berbahasa Inggeris berbanding 78.36% pada 2010,” katanya.

 Selain itu katanya UPM mencapai 43.95 peratus kemasukan pelajar cemerlang peringkat Bacelor dengan CGPA 3.5 berbanding 30.25 peratus pada 2010. Bagi peringkat pengajian siswazah, pengeluaran 369 graduan PhD berbanding sasaran 300 pada tahun 2010 adalah tertinggi dalam negara.

 Dato’ Ir. Dr. Radin Umar berkata sebanyak 75.3 peratus graduan UPM mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat berbanding 74.1 peratus pada tahun 2010. Malah dari sudut kepuasan majikan, graduan UPM mencapai skor 12.26 peratus berbanding 9 peratus pada 2010 mengikut instrumen SETARA dengan skor maksimum 13.

 “Bagi sektor pengurusan kewangan pula, UPM berjaya memperolehi RM42.3 juta berbanding RM37.3 juta pada 2010,” katanya.

 Perutusan beliau juga mencatat sejarah kerana pertama kali isu-isu tertangguh UPM dijelaskan di hadapan kira-kira seribu warga UPM seperti isu penamatan awal konsesi 15 tahun perjanjian perkhidmatan makanan dengan Desasiswa Catering Services Sdn. Bhd.  untuk memberi perkhidmatan makanan yang lebih bermutu dan berharga patut.

 Selain itu katanya, UPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam proses melaksanakan Blue Ocean Strategy untuk mentransformasikan Hospital Serdang sebagai Hospital Pengajaran berautonomi penuh dan ditadbir secara bersama.

Sementara pada majlis yang sama, Tabung Dana Wakaf Ilmu menerima sumbangan berjumlah  RM1,4474,892 juta daripada entiti-entiti UPM seperti  UPM Holdings sebanyak RM 1 juta, staf pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Bahagian Akademik dan CADE (RM3232),  staf pejabat TNC Penyelidikan dan Inovasi, TPU, IDEC, RMC, PPA dan Penerbit (RM 9030).

 Lain-lain sumbangan ialah daripada staf pejabat TNC Jaringan Industri dan Masyarakat, APEEC, CARE, Akademi Sukan dan Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear sebanyak RM1665, staf perkhidmatan entiti Pejabat Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari, Perpustakaan (RM 340,904), staf fakulti dan sekolah (RM 40,957), staf institut (RM 18,424) dan staf pejabat TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, CPC, CEISED dan Kolej (RM 60,680).

Dana itu akan dimanfaatkan melalui penyediaaan fasiliti dan prasarana bagi aktiviti keilmuan merangkumi program pengajaran dan pembelajaran, aktiviti dakwah dan pengimarahan, penyelidikan dan inovasi serta khidmat komuniti.

 Naib Canselor juga mencadangkan UPM Holdings membangunkan hartanah UPM yang strategik untuk tujuan komersial agar pendapatannya boleh disumbangkan untuk Wakaf Ilmu bagi kegunaan pelajar yang tidak berkemampuan membiayai pengajian selain mengekalkan pemilikan hartanah UPM daripada diambil alih oleh pihak swasta.

Berita disediakan oleh Khairul Anuar Muhamad Noh 03-89467469, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm)




SXDdQAO~