Program Inkubasi Usahawantani 2015 Lahir 44 Siswazah Usahawan Pertanian | SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
» NEWS » Program Inkubasi Usahawantani 2015 lahir 44 siswazah usahawan pertanian

Program Inkubasi Usahawantani 2015 lahir 44 siswazah usahawan pertanian

By Syifarida Muhamad Zaki
Photos oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 26 Jun – Seramai 44 siswazah berjaya bergelar usahawantani apabila masing-masing menerima sijil penyertaan dan Kad MYAGROSIS pada majlis penutup Program Inkubasi Usahawantani 2015.

Program inkubasi usahawantani bertujuan melahirkan graduan usahawan muda dalam bidang pertanian yang merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaantani.

Peserta yang terdiri daripada lepasan diploma Institut Pengajian Tinggi seluruh negara berjaya menjalani program sepenuh masa selama enam bulan bermula Januari lalu. 



Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi berkata program itu telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, menerusi perjanjian persefahaman MoU yang telah ditandatangani antara UPM-FAMA.

“Menerui kerjasama ini bermakna kesemua peserta program telah menjadi ahli kelab MYAGROSIS dan membolehkan mereka mendapatkan pinjaman melalui ‘green lane’ untuk memulakan perniagaan sama ada daripada AgroBank atau TEKUN.

“Sebanyak 13 syarikat telah pun ditubuhkan yang melibatkan 20 peserta daripada jumlah peserta tahun ini.  Ini bermakna seramai 57 peserta telah pun bersedia untuk memulakan perniagaan selepas Jun.

“Untuk dua tahun berturut-turut pada 2012 dan 2013, dua projek daripada peserta program Inkubasi telah memenangi hadiah dalam pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kategori “Best Student Enterprise.



“Pada tahun ini, unit Inkubasi telah menghantar tiga pencalonan ke pertandingan Keusahawan Kementerian Pendidikan 2015 atau MOE ENTERPRENUERIAL AWARDS 2015 (MEA Awards 2015), iaitu dalam kategori Best Student Enterprise Awards, Best Entreprenuership Mentor Awards, Best Entreprenuership Project Awards dan Best Entreprenuership Mentor Awards,” katanya.

Program kali keempat anjuran Fakulti Pertanian, UPM sejak tahun 2012 itu telah menawarkan enam modul iaitu tanaman rock melon (fertigasi), akuakultur (ternakan ikan tilapia dalam sangkar), bioteknologi (penghasilan biokompos), ternakan ayam kampung kacukan, pengurusan perkhidmatan makanan, perdagangan dan ekopelancongan.

 

 



Naib Canselor UPM, Prof. Dato Dr. Fauzi Ramlan pula berkata sebanyak RM5 juta nilai hasil keluaran telah berjaya dipasarkan daripada pelbagai syarikat oleh peserta program itu.

“Ini adalah merupakan sumbangan secara langsung program ini kepada pengeluaran makanan kepada penduduk Malaysia dan negara.

“Program ini secara langsung turut memberi impak positif dan menepati objektif yang telah disasarkan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan usahawan pertanian tetapi juga menyumbang kepada keluaran makanan negara.

“Pengurusan UPM akan terus menjadikan program Inkubasi Usahawantani ini sebagai satu program yang berjaya dan menjadi contoh atau model kepada Institut Pendidikan Tinggi Awam yang lain,” katanya.

Pada majlis itu Fakulti Pertanian dan Persatuan Alumni UPM meraikan anak-anak yatim daripada sekolah Darul Fuqaha dan Pusat jagaan anak-anak yatim/miskin Rukaiyah dalam majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.


Updated:: [norafzan]

MEDIA SHARING

SCHOOL OF GRADUATE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389464225
0389464232
C1511595149