| SCHOOL OF GRADUATE STUDIES

UPM anjur Iftar dan majlis perpisahan bersama Pelajar Mobiliti Antarabangsa


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 26 Jun
– Putra International (Bahagian Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Iftar dan Majlis Perpisahan Pelajar Mobiliti Antarabangsa UPM bagi mendedahkan 60 pelajar antarabangsa kepada budaya tempatan serta sambutan Ramadhan, baru-baru ini.

Pelajar antarabangsa yang hadir adalah dari beberapa buah negara antaranya Belanda, Brunei, China, Finland, Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Mexico, Turki, Kazakhstan, Korea dan Indonesia.



Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata program itu adalah penting kepada universiti dan pelajar untuk memberi pendedahan terhadap persekitaran pembelajaran yang baharu dan memperkenalkan UPM di mata dunia.

“Saya berharap pelajar-pelajar mobiliti ini dapat menimba dan berkongsi pengalaman baharu serta mempunyai tanggapan yang baik terhadap UPM dan Malaysia kerana pelajar ini yang akan menjadi duta UPM di negara asal mereka kelak,” katanya.

Sementara itu, pelajar  dari Kangwon National University, Korea Selatan, Woo Seok Ju berkata beliau telah memperoleh pelbagai pengalaman dalam bidang perhutanan yang boleh dimanfaatkan apabila pulang ke negaranya.



“Saya turut melakukan pelbagai aktiviti di hutan serta mempelajari cara betul untuk mengukur keluasan hutan serta mendiagnosis pokok hutan bagi mengenal pasti umur dan spesies pokok hutan yang tidak terdapat di negara saya,” katanya.

Mahero Ogara dari University of Tsukuba, Jepun pula berkata program itu telah memberi pendedahan mengenai budaya dan cara hidup rakyat Malaysia yang unik dengan kepelbagaian bangsa dan budaya.

“Ini adalah pengalaman pertama saya di negara ini dan saya berasa seronok melihat budaya masyarakat di sini. Saya diperkenalkan dengan pelbagai makanan yang enak serta belajar berkomunikasi dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Program mobiliti di UPM bermula pada lewat 1990-an dan pada peringkat awalnya hanya beberapa pelajar mengambil bahagian dalam program itu terutamanya untuk menjalankan latihan praktikal dan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi. - UPM


SXETMAa~