| SCHOOL OF GRADUATE STUDIES

UPM lancar makmal sosial pertama di Malaysia

By Syifarida Muhamad Zaki
Photos by Marina Ismail

 



SERDANG, 10 Mei (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan makmal sosial kolaboratif untuk pembangunan pelajar yang pertama antara institut pengajian tinggi awam di Malaysia.

Makmal sosial itu direka khusus untuk pembangunan pelajar secara holistik berasaskan perkembangan keusahawanan dan kecemerlangan seimbang dari segi akademik dan akhlak.

Pengasas konsep makmal sosial itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Dr. Mohamad Ibrani Shahrimin Adam Assim menekankan konsep kerangka ‘analytics of big data on student development’.

Berkonsepkan tanpa struktur fizikal dan bertunjang kepada konsep kerangka analitikal ‘analytics of big data on student development’ ianya terus dikembangkan kepada aplikasi konseptual dalam penyelidikan di bawah pengasas idea oleh Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, UPM merangkap pengetua kolej 16, UPM, Dr. Mohamad Ibrani Shahrimin Adam Assim.



Beliau berkata kejayaan makmal itu diukur melalui indikator kemahiran insaniah secara holistik dan kebolehpasaran graduan UPM dalam industri.

“Pelajar perlu berfikir di luar kotak untuk menjayakan sesuatu program yang berimpak kepada diri, universiti dan seluruh masyarakat kerana terdapat pelbagai peluang di universiti ini untuk mengembangkan kemahiran insaniah,” katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata makmal itu berperanan menjalankan penyelidikan bagi melihat kebolehpasaran pelajar dan masa depan mereka selepas menamatkan pengajian nanti.

“Melalui makmal ini kita akan pantau bagaimana kegiatan pelajar boleh dijadikan sebagai ukuran semasa mencari pekerjaan.

“Kita cuba menggabungkan tiga elemen iaitu pelajar UPM, majikan iaitu tempat yang menawarkan pekerjaan dan juga ibubapa menerusi kajian yang dijalankan,” katanya semasa merasmikan majlis pelancaran itu.

Datuk Shamsul Amri menekankan kepentingan penubuhan makmal itu dalam mengukuhkan perpaduan antara kaum pada masa akan datang kerana makmal itu boleh memberi kerangka kepada kerajaan dalam membentuk hubungan etnik yang lebih baik.

“Tahap masalah tidak berpuas hati  masyarakat dengan sesuatu masyarakat dapat dikesan dari peringkat akar umbi.

“Malah saya berharap makmal ini dapat melahirkan siswazah dalam pelbagai kaum yang boleh dilaksanakan dan aplikasi bidang ini secara mendalam,” katanya.

Pelancaran modul-modul berasaskan Jati Diri dan Keusahawanan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran akan menjadi peneraju kepada penjanaan analitik pembangunan kemahiran insaniah pelajar.

Turut hadir dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Canselori Putra UPM itu ialah Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.


SXDdRAm~