Inovasi MICRONES Atasi Kehilangan Minyak Sawit Mentah Semasa Pengekstrakan | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Inovasi MICRONES atasi kehilangan minyak sawit mentah semasa pengekstrakan

Inovasi MICRONES atasi kehilangan minyak sawit mentah semasa pengekstrakan

 

Oleh Azman Zakaria

Foto Saleha Haron

SERDANG, 4 Mei - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama rakan penyelidiknya berjaya membangunkan Maceration Induced Cell Rupturing Oil Nut Extraction Synthesis (MICRONES), teknologi baharu dalam pengekstrakan minyak kelapa sawit bagi mengatasi masalah kehilangan minyak kelapa sawit mentah semasa proses pengekstrakan.

MICRONES akan mengubah proses pengekstrakan Minyak Sawit Mentah (CPO) dan kernel dari proses yang dibebani kos kepada proses yang memberi keuntungan dengan mengurangkan kehilangan minyak semasa proses pengekstrakan, sekali gus mengurangkan kerugian yang dialami kilang kelapa sawit.

MICRONES dihasilkan menerusi gabungan dua projek penyelidikan iaitu ‘Kernel Nut and Mesocarp Separation System (Sistem Pengasingan Kernel dari Sabut Kelapa Sawit) oleh Prof Dr Rubiah Yunus dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan UPM dan ‘System for Continuous Extraction of Pericarp Liquid (Sistem Pengekstrakan Berterusan Cecair Perikarpa) oleh Gregory L.Foster dari syarikat Fibaloy International Sdn Bhd. 

Sistem itu dapat menggantikan kaedah pengisaran tradisional untuk menghasilkan minyak sawit dan minyak kernel sawit mentah yang lebih tinggi.

Teknologi itu bukan sahaja dapat mengurangkan kehilangan 0.5-0.7 peratus Kadar Perahan Minyak (OER) dan 15-20 peratus daripada kernel semasa pengekstrakan tetapi mampu menambah kembali 0.35 peratus kepada OER dan 15 peratus daripada isirong sawit.

Prof Dr Rubiah berkata proses pengekstratkan adalah proses yang krtiikal di kilang kelapa sawit dan teknologi yang tidak efisyen boleh mengakibatkan kehilangan minyak sawit yang tinggi.

“Teknologi MICRONES adalah penemuan penting dalam industri minyak kelapa sawit. Pada 2016, pengeluaran minyak sawit menurun kepada 0.35 peratus OER. Ini menyebabkan Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terpaksa membuka 250,000 hektar tanah tambahan untuk memenuhi permintaan 53 juta tan CPO. 

“Kesan ketidakcekapan dalam pengeluaran OER, bukan sahaja menyebabkan kerugian industri tetapi kesan yang lebih besar ialah kepada alam sekitar kerana 476,000 hektar tanah diperlukan untuk menanam kelapa sawit bagi menampung kehilangna OER,” katanya.

MICRONES mudah diangkut ke tapak kilang dan cepat untuk dipasang, tanpa gangguan kepada proses pengeluaran harian kilang.

Kerja membangunkan 1.5 FFB t/h prototaip telah bermula. Unit itu akan dipasang di UPM bagi ujian percubaan dan kerja penyelidikan.

Sementara itu, majlis pertukaran dokumen perjanjian pelesenan antara UPM dan Fibaloy International Sdn Bhd diadakan pada 4 Mei. UPM diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Husaini Omar manakala Fibaloy International oleh Pengarah Urusannya, Gregory L. Foster. - UPM

       

 

 

 

 

Kemaskini:: 11/05/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389464225
0389464232
C1503290319