Melaka Jadi Negeri Rakan Kongsi Pertama Dalam Pertanian Bandaran UPM | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Melaka jadi negeri rakan kongsi pertama dalam pertanian bandaran UPM

Melaka jadi negeri rakan kongsi pertama dalam pertanian bandaran UPM

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto oleh Marina Ismail



AYER KEROH, 4 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan konsep pertanian bandaran di Melaka yang bakal menjadi alternatif pertanian baharu serta dapat menjadi pemangkin pembentukan bandar mampan bagi menghasilkan produk pertanian.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata dengan pertanian bandaran berkonsepkan ‘roof top’ itu dapat membantu meningkatkan lagi sektor pertanian serta memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat negeri itu.

“Kaedah pertanian bandar adalah aktiviti menghasil, memproses dan memasarkan produk pertanian di pinggir bandar yang boleh digunakan sebagai sumber asas dan sedia ada termasuk kawasan rumah dan bangunan tinggal yang boleh dimajukan untuk tujuan tersebut,” katanya ketika merasmikan Program Klinik Pakar Pertanian UPM di Hari Terbuka Agro Bioteknologi Negeri Melaka di sini hari ini.



Pertanian bandaran dalam bangunan boleh diibaratkan sebagai “kilang” mengeluarkan sayur-sayuran dan lain-lain makanan, kata beliau.

Beliau juga mahu pakar UPM berkolaborasi  (collaborate) dengan Majlis Bandaran Melaka untuk menjalankan pertanian bandaran dengan melanskapkan tebing Sungai Melaka supaya boleh turut dinikmati oleh pelancung yang menaikki bot “river cruise” di kota Melaka.

Datuk Seri Mohd Ali juga mengundang pakar UPM membantu indastri ternakan udang (aquakultur) dan ikan dalam sangkar di persekitaran Pulau Besar yang menghadapi masalah seperti kekurangan hasil.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. -Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo dalam ucapan aluannya berkata perkongsian UPM dengan masyarakat mengenai pertanian bandaran meliputi sumber pengetahuan, kemahiran dan inovasi yang dihasilkan.

“UPM turut menganjurkan Program Klinik Pertanian bertujuan memberi latihan dalam pemindahan teknologi dan keusahawanan bersama pengusaha pertanian termasuk tanaman, ternakan, akuakultur dan industri asas tani bagi pengunjung dalam meningkatkan produktiviti dan menjana pendapatan,” katanya.

Program itu disertai oleh pakar-pakar UPM dalam bidang-bidang seperti tanaman makanan, hortikultur dan perladangan; akuakultur; pertanian bandaran; baja dan kesuburantanah; pengurusan perosak dan penyakit tanaman; perniagaan dan keusahawanan pertanian; pemprosesan dan teknologi makanan serta pensijilan halal.



Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof Dr Abdul Shukor Juraimi yang turut hadir di majlis itu berkata Ketua Menteri Melaka itu mahukan UPM membentuk satu kolaborasi dengan mereka dan menggunakan ruang kosong di Bangunan Yayasan Melaka untuk tujuan pertanian bandaran.

Selepas satu mesyuarat awal pada 5 April 2013, satu kumpulan pakar UPM termasuk dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina akan ke Melaka pada 9 April 2013 untuk mesyuarat susulan.

Beliau juga berkata mereka menerima banyak pertanyaan daripada pengunjung seperti kos peralatan pertanian bandaran, jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang sesuai untuk ditanam dan sebagainya.

Prof Dr Shukor berkata kos peralatan untuk “pisciponics” (untuk menanam sayur dan ternak  ikan) adalah lebih-kurang RM500 manakala model “vertical”  atau berlapisan itu berharga RM900.

Bagaimanpun,  kos itu dapat dikurangkan sekiranya peralatan itu dikeluarkan dengan banyak.

Beliau juga berkata mereka sedang cuba menggunakan buluh untuk membuat peralatan itu dan beliau percaya buluh boleh digunakan kerana mereka mempunyai teknologi untuk membuat buluh itu bertahan lasak.

Sementara itu, Abu Hasan Ab. Aziz salah seorang pengunjung yang mendapat khidmat nasihat berkenaan ternakan lembu berkata program klinik pertanian memanfaatkan beliau untuk mendapatkan konsultasi secara terus bersama pakar UPM.

“Saya berharap pihak UPM akan berterusan mengadakan klinik pertanian di sekitar kampung negeri Melaka agar dapat berinteraksi secara terus bersama penduduk,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pertanian UPM, Dr. Nitty Hirawaty Kamarulzaman berkata program itu merupakan perkhidmatan rundingan secara percuma kepada pengusaha serta pengamal pertanian dan ternakan.

“Kita mempunyai teknologi serta maklumat yang boleh disalurkan kepada penduduk kampung yang terlibat dan harapan saya program ini berterusan dari masa ke semasa bukan sahaja di negeri Melaka, malah ke negeri lain,” katanya.

-nej/kgo

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEbEAw~