UPM Tawar Program Asasi Untuk Lulusan SPM Ikuti Pengajian Di Universiti | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » UPM tawar program asasi untuk lulusan SPM ikuti pengajian di universiti

UPM tawar program asasi untuk lulusan SPM ikuti pengajian di universiti

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Marina Ismail



SERDANG, 11 Okt (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan program asasi untuk membolehkan lulusan SPM mengikuti pengajian di universiti ini selepas Tingkatan Lima.

Pelajar-pelajar Tingkatan Lima yang menamatkan pendidikan menengah mereka dengan memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biasanya mempunyai pilihan menyiapkan diri untuk kemasukan ke universiti dengan terus mengikuti program matrikulasi setahun atau belajar di peringkat sekolah menengah atas selama dua tahun bagi mendapatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Program Asasi Sains Pertanian, adalah satu lagi laluan ke universiti untuk mendapatkan ijazah Bacelor bagi pelajar-pelajar Tingkatan Lima itu. Program ini adalah adalah satu program Asasi Sains dengan kursus tambahan dalam bidang pertanian.

Ada dua cara untuk menyertainya, laluan pantas dan arus perdana. Program laluan pantas bermula pada Januari dan berakhir pada Ogos tahun yang sama manakala arus perdana bermula pada Mei dan tamat pada Mei tahun berikutnya.



Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM mereka boleh menyertai program asasi laluan pantas selama dua semester, manakala yang lain diambil mengikuti kursus arus perdana tiga semester dalam masa setahun, kata Prof Dr Mahiran Basri, pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP).

PASP telah menguruskan program itu sejak ditubuhkan pada 2005 dan program laluan pantas itu sejak 2011 iaitu untuk lulusan SPM meneruskan pengajian tinggi mereka di UPM.

“Program Pengajian Asasi Sains Pertanian ini menawarkan lulusan SPM satu lagi laluan memasuki universiti dan apa yang menguntungkan mereka adalah mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian dalam sebarang kursus ijazah Bacelor di UPM, bergantung kepada gred dan minat mereka,” kata beliau.

Program asasi UPM ini tidak membataskan pelajar hanya kepada program ijazah Bacelor dalam bidang pertanian, sebaliknya ia membuka peluang kepada mereka mengikuti pengajian ijazah Bacelor ditawarkan oleh 16 fakulti UPM.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kedua-dua program PASP itu “bukanlah sesuatu yang mudah tetapi memerlukan usaha gigih pelajar”.

Program arus perdana di jalankan selama setahun (mengandungi tiga semester dengan 14 minggu setiap semester), dimana pelajar akan diajar subjek seperti biologi, kimia, matematik, fizik di samping kursus pertanian, bahasa Inggeris dan sains komputer.

Program laluan pantas dijalankan dalam masa dua semester dengan kandungan kredit yang tinggi setiap semester jadi  memerlukan pelajar berusaha lebih giat lagi.

Prof Mahiran memberi jaminan kepada pelajar-pelajar bahawa PASP mempunyai tenaga pengajar yang berkelayakan tinggi, kebanyakannya dengan ijazah PhD dalam usaha memberi tumpuan sepenuhnya dan juga bimbingan kepada mereka yang menyertai program berkenaan.


Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP), Prof Dr Mahiran Basri


“Kami membina sistem yang membuat kami peka kepada kesejahteraan emosi dan pencapaian akademik pelajar-pelajar. Jika mereka tidak mencapai tahap diperlukan atau menghadapi masalah, kami akan berbincang dengan mereka bagi mengetahui masalah dihadapi dan mengambil tindakan memperbaikinya,” beliau menambah.

Ditanya mengapa UPM memperkenalkan modul pra-universiti seperti itu, Prof Mahiran, seorang profesor kimia yang dilantik Pengarah PASP sejak 2007, berkata ia adalah satu situasi menang-menang.

“Kami mahu pelajar cemerlang mengikuti program Bacelor dalam bidang pertanian dan bidang berkaitan dan program PASP membolehkan kami mendapatkan sebahagian dari mereka  sebelum keputusan SPM diumumkan.

“Dengan memasuki UPM selepas Tingkatan Lima, kami berharap mereka boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan di universiti dan persekitarannya, kekal dan mencapai kejayaan cemerlang dalam usaha mendapatkan ijazah pertama mereka dalam bidang pertanian dan bidang lain.

“Pelajar PASP kita tidak perlu melalui UPU (atau pusat pemprosesan kemasukan berpusat universiti) tetapi terus menyertai UPM selepas program asasi mereka,” kata beliau.

Beliau menarik perhatian berikutan kejayaan yang dicapai setakat ini, PASP telah memulakan satu lagi mod laluan iaitu kemasukan pada bulan September khusus untuk pelajar dari luar Negara.  Inisiatif ini adalah untuk menyokong program pengantarabangsaan di UPM.

Prof Mahiran berkata bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya dalam pendidikan program PASP dan beliau berharap pelajar-pelajar Tingkatan Lima dan lulusan SPM akan memberi pertimbangan kepada program asasi sains itu dalam mendapatkan tempat di UPM untuk pendidikan tinggi mereka.

Pusat itu kini ada 600 pelajar dalam program arus perdana dan 100 untuk program laluan pantas.

Kira-kira 2,000 pelajar telah lulus daripada PASP sejak 2005 dan sebahagian besar daripada mereka kini bekerja setelah memperolehi ijazah Bacelor dari UPM.

Permohonan untuk program laluan pantas untuk Januari 2014 kini dibuka. Pelajar yang layak dialu-alukan memohon melalui PASP. -- UPM

Bagi mendapatkan maklumat, harap layari:

http://www.asasi.upm.edu.my

- kgo/agn


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEbIAj~